Pro Mahasiswa

video

Aku Rela-Algebra

Telah ku rela
Nama dan diri
Menjadi sasaran kerana cinta
Telah ku rela
Segala tohmahan bermaharajalela
Kerana cinta
Kerana cinta jua aku berbicara
Dengan nada insan terluka
Meluah rasa
Meluah fakta
Mencedera jiwa
Semuanya kerna cinta
Biar ku tanggung rasa derita
Asalkan agama selamat akhirnya
Yang membantah hanya berfalsafah
Kerana bimbang suapan harian
Dengan menjual nama Tuhan
Lalu kebenaran disingkirkan
Demi hidangan belian pendustaan
Namun aku yang sengsara zahirnya
Redha telahpun penuhi jiwa
Dalam keletihan ini aku bahagia
Kerana pada kebenaran itulah terasa
Nikmat Syurga

Tiada krisis dalam PAS, jangan terpedaya


WM Fadzli W Hamzah, Puchong.
Tue | Oct 27, 09 | 9:50:46 am MYT
sumber:harakah

Sepanjang pengamatan saya, tiada apa yang dinama krisis dalam Pas. Hanya perbezaan pendapat yang diatasi melalui tawakkal dalam mesyuarat .

Tawakkal dalam mesyuarat ialah berserah kepada AlLah setelah azam kata putus diambil, "....bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu, maka setelah azam kata putus di ambil , maka bertawakkalah kepada Allah kerana Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal" ( surah Ali Imran :159)

Jauh sekali jika nak disamakan dengan keretakan dalaman Umno, Mca dan Mic. Kata mereka 'tunggu retak terbelah '.

Ini semata-mata rekaan dan permainan media massa pro Umno yang jelas membantu barisan nasional bagi mengalih pandangan masyarakat daripada isu utama seperti isu kematian Teoh Beng Hock yang dikatakan dibunuh sebelum dicampak ke bawah, masalah pepecahan dalaman Mca dan Mic yang belum ada penghujung, dan tidak terkecuali isu pembentangan bajet 2010 dan masalah pepecahan umno yang tiada berkesudahan.

Lalu dicipta satu gambaran kononnya Pas juga tidak terkecuali. Cuba perhatikan, setiap kali barisan nasiaonal berhadapan masalah, setiap kali itulah media massa mencari lubang yang boleh mengharuskan mereka mengucar kacirkan Pas.

Begitu juga dengan pandangan yang diutarakan oleh Dr Aziz Bari, seolah-olah ada perpecahan serius dalam Pas. Saya menghormati beliau sebagai seorang guru perundangan,tetapi rasa saya ada yang tak kena dengan tulisan beliau hari itu.

Oleh kerana ia merupakan hanya pendapat yang datang dari seorang manusia seperti orang lain, bukan nabi atau rasul, maka harus berlaku kesilapan sekalipun beliau mempertahankannya . Tidak salah jika beliau berfikir kembali keharusan tulisan beliau itu yang patut ditarik balik.

Masakan nabi juga tersilap, inikan manusia biasa. Tidak bermakna juga beliau tidak tegas. Mengaku salah pada tempatnya melambangkan sifat mulia dan rendah diri yang tinggi.

"Wahai orang-orang yang berimam, taatilah kamu akan Allah dan taailah kamu akan Rasul, dan pemimpin yang mentaati Allah dari kalangan kamu [taat kepada pemimpin bukan perkara mutlak] , maka kiranya ada perselisihan pada sesuatu perkara, kembalilah kepada hukum Allah dan Rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, kerana itulah sebaik-baik dan paling baik jalan penyelesaian " (surah anNisa�:59)

Tidak adil rasanya jika pendapat yang diutarakan itu hanya berladaskan kepada kekalahan Pas di Bagan Pinang. Bagaimana dengan kemenangan sebelum ini?. Kata orang �nasib baik Pas kalah, jika menang, siapa yang akan bekerja dengan Pas nanti�.

Secara realitinya Pas patut kalah di Bagan Pinang. Bukan itu saja, faktor calon, Isa Samad anak tempatan dan lebih popular nak dibandingkan dengan calon Pas Zulkefly Mohammad Omar yang bukan anak tempatan lagi tidak popular.

Undi pos juga menjadi faktor dan banyak lagi yang akan diketahui nanti setelah postmortem selesai. Saya sangat bersetuju dengan tulisan ustaz Idris Ahmad mempertahan Pas susulan tulisan Dr Aziz Bari dan tidak bermakna saya membencinya.

Bukan juga sebab Hassan Ali yang tegas mempertahan Islam dalam pengharaman sebilangan kecil arak di Selangor kerana Pas juga mempertahankan kuil hindu di Shah Alam. Ini bermakna yang hak itu hak, yang batil itu batil dan tiada syubhat yang dipertahankan.

Di sini ingin saya tegaskan bahawa sebenarnya tiada pepecahan yang berlaku dalam Pas. Hanya perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat akan terus berlaku dalam Pas kerana tiada seorangpun nabi dari kalangan pemimpin mereka dan jauh yang mengaku jadi tuhan.

Perlu diingatkan bahawa hanya Allah dan nabi sahaja yang tidak boleh dipertikaikan. Tiada pro umno dan tiada juga pro pakatan. Jauh sekali nak dikaitkan Tuan Guru Hj Hadi dengan pro-Umno dan Tuan Guru Nik Aziz pro-pakatan.

Memang tiada. Yang ada rasa setuju dan tidak setuju. Bukan hingga sampai tahap yang melingkupkan Pas. Dengan izin Allah, sehingga ke hari ini Pas satu-satunya parti orang Islam yang bertahan isi padu perpaduan. Bukan orang Islam sahaja, bahkan orang bukan Islam turut memberi sokongan kepada Pas.

Prinsip Pas cukup jelas, pemimpin boleh keluar dan pergi, Pas tetap dengan Islamnya. Pas bukan milik Tuan Guru Hj Nik Aziz atau Tuan Guru Hj Hadi. Mereka berdua hanyalah hamba Allah yang dipilih untuk memikul tanggungjawab yang ada.

Jangan sekali-kali ahli Pas terpedaya dengan dakyah-dakyah sumbang yang hanya akan merugikan Islam dan parti. Elakkan daripada menulis sesuatu sama ada dalam blog atau akhbar yang boleh menghiru biru keadaan dan semakin tidak kehaluan.

Berdoa dan berserahlah kepada Allah. Jangan sekali-kali jadikan blog sebagai tempat luahan ketidakpuas hati dalam parti. Jika ada, berbicaralah di sekitar kalangan mereka yang patut tahu sahaja.

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasik menyebarkan sesuatu berita, dapatkan kepastian terlebih dahulu, nanti musibah akan menimpa ke atas kaum yang tidak tahu, maka jadikanlah diri mu menyesal di atas perbuatan yang kamu lakukan" (surah al-Hujurat :6)

" Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada banyak prasangka kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa....." (surah al-Hujurat : 12).

Jika ada musuh dalam selimut sekalipun, ia tidak akan dapat memecahkan kekuatan Pas jika ahli Pas terus bersatu di bawah payung para ulama dan orang-orang yang soleh. _

Kepimpinan mahasiswa tertolak kerana borang?


H Fansuri
Sat | Oct 10, 09 | 6:36:58 am MYT

AGAK melucukan apabila mengukur suhu demokrasi di negara ini. Kalau ada orang berkata, bahawa kepimpinan itu diukur melalui akhlak, ilmu akademik, dan pengetahuan menguruskan khazanah negara, maka jawapan ini tenggelam timbul dalam mimpi dan angan-angan sahaja pada hari ini.

Kepimpinan melalui teladan hanya slogan klasik, semboyan dan laungan plastik. Slogan itu telah mengalami evolusi demi evolusi daripada zaman bahari sehinggalah ke era hadhari. Evolusi slogan istilah itu berkembang menjadi Islam Hadhari, Cemerlang Gemilang dan Terbilang sehingga muncul istilah glokal, 1Malaysia 1Mongolia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Hampir tiada pimpinan yang bangun lewat sistem demokrasi hari ini. Hari ini dengan sistem yang ada, tidaklah melahirkan pemimpin. Mereka hanyalah menteri, ketua menteri, timbalan perdana menteri dan perdana menteri. Mereka cuma menteri dan YB-YB. Mereka bukanlah pemimpin sejati.

Sebab itu, kalau ada orang yang mahukan kepimpinan berakhlak dan berpengetahuan untuk memerintah mereka, maka semua itu khayalan belaka. Tetapi, peluang masih terbuka jika mereka mahu mahu, setia dan bersedia bekerja keras.
Kepimpinan Talut menongkah arus plutokrasi
Lihat jawapan yang diutarakan seorang nabi dalam kalangan Bani Israel ketika kalangan pemimpin mereka yang kaya-raya ingin memasuki wilayah Palestin, tapi takut berdepan dengan 'seekor gergasi' bernama Jalut. Allah merakam debat antara mereka ini di dalam Surah Al-Baqarah.
Dalam ayat ke-247, para pimpinan Bani Israel menolak kepimpinan Talut yang miskin. Kata mereka, "Bagaimana dia (Talut) mendapat kuasa memrintah kami sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?"

Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan perkataan plutokrasi sebagai sejenis pemerintahan yang dikawal selia oleh orang-orang kaya, pemodal dan kapitalis. Ini bermaksud, hanya orang kaya yang layak memerintah. Bagaimana mereka boleh jadi kaya, hal itu tidak perlu kita runsing.
Mereka boleh jadi kaya melalui kegiatan jualbeli senjata seperti kapal selam dengan sedikit komisen. Itu contoh saja. Ada yang jadi kaya melalui merasuah perwakilan supaya boleh menjadi menteri. Apabila jadi menteri, mereka boleh luluskan lebih banyak projek dan menikmati konsesi, dan komisen pun boleh menjadi dua kali lipat.
Syahadan, bentuk pemerintahan hari ini adalah plutokrasi kerana kita dipimpin oleh orang-orang kaya. Kepimpinan Talut akhirnya mengembalikan zaman keagungan Bani Israel apabila Daud a.s menjadi raja selepas Talut. Keagungan pemerintahan Bani Israel semakin hebat selepas anakanda Daud, iaitu Sulaiman a.s menjadi raja.
Namun, berlaku sedikit pergelutan antara ahli-ahli sihir dalam istana Raja Sulaiman hingga mengundang sedikit kesusahan dalam pemerintahan nabi itu. Kita pun tertanya-tanya juga, dalam keadaan zaujah Ibnu Abdul Razak yang didakwa terpalit dengan isu ilmu hitam, selamatkah kepimpinan bahtera negara kita ini?
Ketepikan soal Daud, Talut, Sulaiman, ilmu sihir dan ilmu hitam. Itu hanya rencah-rencah bualan ringan. Kita buka cerita Talut disebabkan kita mahu mengaitkan hal kepimpinan. Talut tidak akan bangkit kalau beliau tidak disokong seorang nabi yang mengangkatnya melalui wahyu Tuhan.
Kebetulan, ada keperluan melantik seorang pemimpin yang berani berdepan dengan Jalut, kerana semua saudagar Bani Israel yang kaya-raya itu enggan mati kerana cintakan harta. Maka, ruang kosong itu diisikan dengan Talut.
Adakah demokrasi perlukan borang?
Selepas Talut, kita melihat banyak idea politik berkembang. Kita tidak mahu bicarakan semuanya kerana ruangan ini bukan untuk berkhutbah mengenai ilmu sains politik. Justeru, marilah kita cepatkan apa-apa yang patut kita percepatkan.
Alkisahnya, suatu ketika dahulu, ada seorang pegawai tinggi HEP di sebuah universiti di Pulau Pinang yang memutuskan suatu keputusan untuk memansuhkan pilihan raya antara desasiswa. Desasiswa adalah asrama, seperti kolej kediaman di UM atau kamsis di UKM.
Hal ini ditentang secara diam-diam oleh warga kampus kerana takutkan pegawai tinggi HEP tersebut. Satu-satunya wadah, suara yang menentang dasar tersebut adalah Berita Kampus, sebuah akhbar yang dikendalikan oleh kira-kira 44 mahasiswa kewartawanan di Pusat Pengajian Komunikasi.

Mereka melawan melalui penulisan mereka. Mereka melawan pada zaman di mana blogspot belum masyhur dan tersohor seperti sekarang. Segelintir dalam kalangan mereka bergelut sakan dalam keadaan Facebook belum wujud, YouTube belum berkembang dengan pesatnya seperti sekarang.
JIka semua ini wujud, entah apalah yang akan terjadi kepada pegawai tertinggi HEP itu sekarang. Bagaimanapun, khabarnya, pegawai HEP itu sudah dikirim ke Unimap (Universiti Malaysia Perlis) kerana beliau sukar hidup dikelilingi warga IPT yang tidak senang dengan kehadirannya di kampus lama.
Syahadan, apabila kita menyentuh soal Unimap, inilah berita yang kita terima dari universiti di utara tanah air itu. Kononnya, Pro Aspirasi (penyokong Umno, BN) telah menewaskan kumpulan Pro Mahasiswa di universiti itu selepas tamat sesi penamaan calon. Mereka bukan menang dalam pertarungan. Tapi, menang selepas musuhnya tidak dibenarkan bertanding.
Ketika kita ghairah dengan Bagan Pinang, tragedi gempa di Padang, tiba-tiba terdengar laporan mengenai kekecohan dan kecurangan dalam sistem pilihan raya kampus kita.
Jika khabar ini benar, maka pilihan raya kampus adalah lebih tidak demokratik dan tidak adil berbanding pilihan raya di Bagan Pinang dan lain-lain pilihan raya kecil sebelum ini. Kegagalan untuk bertanding itu berlaku oleh kerana kegagalan mereka mendapatkan pengesahan pihak berkuasa dalam kampus.
Dan, tentunya pengesahan untuk bertanding pilihan raya itu memerlukan sejenis borang untuk ditandatangani. Dan, kita perlu bertanya - adakah wajar kepimpinan itu tertolak, gara-gara gagal mendapatkan tandatangan di dalam borang tersebut?
Salah isi borang
Benar. Hakikat ini memang cukup pedih diterima. Dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum, kepimpinan kini tertolak hanya kerana salah isi borang.
Semenjak zaman Talut, khilafah yang memakai bai'ah, sistem beraja yang memerlukan raja melantik putera mahkota, maka borang-borang kertas yang terhasil daripada gentian kayu-kayu pokok ini tidak pernah menjadi sebab kepada tertolaknya kepimpinan seseorang.

Sekarang, masa berubah. Dalam negara kita yang mana hampir kebanyakan universitinya masih berlumba-lumba mahu mendapat pengiktirafan dunia, mengejar gelaran universiti penyelidikan, mahu tersenarai dalam 'ranking' 200 buah IPT terbaik di dunia, ternyata masih ada pemimpin universiti yang curang dalam mewarnai demokrasi.
Kalau dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, calon-calonnya boleh tertolak kepimpinan kerana salah isi borang, maka adik-adik kita di universiti hari ini telah ditolak kepimpinan, hanya kerana pemimpin IPT 'enggan' menandatangani, memperakui hak mereka untuk bertanding.
Kepada yang terlupa, sila ingat semula kes di mana UIAM telah meminda syarat-syarat bertanding agar calon-calon pimpinan mahasiswa itu boleh bersyarah dalam bahasa Inggeris. Juga, jangan lupa bagaimana notis pilihan raya itu dikeluarkan hari ini dan esoknya notis pilihan raya itu boleh dicabut semula.
Maklumat dalam notis mengenai pilihan raya itu boleh ditampal pagi ini dan petang ini dihilangkan semula. Semua maklumat dipendamkan dan ia cuma berlegar sekitar calon-calon mahasiswa yang memihak kepada parti pemerintah sahaja.

Hilang hormat

Saya secara peribadi mula hilang hormat apabila pemimpin universiti mula bertindak begini ketika zaman berkuliah. Ketika saya mendapat tahu bahawa pensyarah tersebut berpindan ke Unimap, rasanya tidak perlulah dipanjangkan lagi sengketa lama itu. Cukuplah dengan apa yang telah kami usahakan ketika sama-sama memimpin Berita Kampus dahulu.
Selepas zaman berkuliah, rasanya elok menumpukan hal-hal lain pula. Tapi, nampaknya kita tidak boleh berdiam diri juga. Tidak perlu diperturunkan secara jelas di sini apakah yang telah berlaku di Unimap baru-baru ini. Sidang pembaca boleh membaca dan mencarinya sendiri.
Apa yang ingin saya sampaikan secara peribadi kepada para pimpinan universiti yang bijaksana di sana ialah, tak bolehkah dengan akal bijaksana, kita menjaga maruah dan kehormatan kita sebagai mahaguru universiti?
Bukan suatu yang rahsia lagi, bahawa ada pensyarah yang pro kepada parti pemerintah. Itu tidak salah. Ada pensyarah yang pro kepada Pakatan Rakyat. Ini juga tidak salah. Semua parti ini dihalalkan undang-undang dan perlembagaan negara. Tapi, tidak bolehkah kita simpan rahsia politik dalam perut masing-masing?
Saya percaya, mahasiswa kita masih hormatkan NC, TNC yang memihak atau terpaksa memihak kepada parti pemerintah, selagi mana politik mengampu untuk menyelamatkan kedudukan pemimpin universiti ini tidak sampai mendera mahasiswa sendiri.
Mengampulah sebanyak mana pun, siapa yang peduli? Tetapi, idea menjahanamkan demorkrasi kampus, usul mengkasi pemikiran, memangkas idea pembangunan akliah mahasiswa ini bermuara dari mana?

Bodeklah, tiada salahnya. Tetapi idea untuk mencetak borang ini datangnya dari siapa? Timbul tenggelam idea gelap hingga NC perlu menandatangani borang ini, gelombang tsunami idea jahat ini, ombak badainya datang dari monsun taufan mana?
Lalu, kita pun mahu bertanya sebagaimana almarhum W. S. Rendra pernah bertanya lewat Sajak Pertemuan Mahasiswa ...
"Sekarang matahari, semakin tinggi.
Lalu akan bertahta juga di atas puncak kepala.
Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya:
Kita ini dididik untuk memihak yang mana?
Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini
akan menjadi alat pembebasan,
ataukah alat penindasan?
(Sajak Pertemuan Mahasiswa, 1977)
Adakah kita mahu kampus hari ini mengasuh mahasiswanya menjadi cukong kapitalis, politikus pengamal amalan plutokrasi yang menindas rakyat marhaen, atau mereka berjuang memutuskan ikatan tali, belenggu ketakutan yang berselirat di dada rakyat?

Kita menuntut jawapan!

5:31 a.m, 9 Oktober

Sekolah Pemikiran Kg Baru
(Kepada pemimpin universiti yang mahu menonton Rendra mendeklamasi Sajak Pertemuan Mahasiswa tersebut, boleh mencapainya di YouTube. Maklumbalas boleh dimajukan kepada ibnuamir@yahoo.com) _
sumber: harakahdaily.net

The Conquest of Constantinople

video

Assalamualaikum
Subhanallah..puji-pujian hanyalah untukMu yang menggerakkan setiap denyut nadi dalam melahirkan kalam yang telah sekian lama ingin dilontarkan..Alhamdulillah,akhirnya ana berkesempatan untuk menjadi salah seorang yang bersama-sama berjuang dengan teknologi moden ini untuk menyampaikan seruan dakwah..Video al-Fateh pembuka tinta,menyeru kepada semua untuk bangkit..kerana yakin bahawa kemenangan itu pasti milik Islam..Ana bukan fanatik dengan kemenangan tetapi sekadar membakar jiwa yang kadangkala semakin malap kerana ana percaya kejayaan Islam itu adalah cerminan kepada tertegaknya kalimah Allah di muka bumi ini..sebelum tercetusnya perubahan ini nahnu sebagai Jundullah haruslah bersiap siaga dengan segala kelengkapan..Wallahua'lam..

"Sungguh, Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata."
(Surah al-fath:1)

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih ,Maha Penyayang,
Segala Puji Bagi Allah, Tuhan sekalian Alam,
Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
Pemilik Hari pembalasan.
Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon Pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus,
Iaitu jalan orang2 yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.
(Al-fatihah:1-7)

IslamicStyle Gallery